KUALA PILAH: Seorang lelaki mengalami kecederaan di kepala, tangan, dan kaki selepas diserang haiwan liar yang dipercayai kucing tulap di Kampung Pauh Terachi berhampiran Tanjung Ipoh.
Kejadian itu berlaku semalam ketika mangsa berusia 56 tahun berada di kawasan kandang kambing miliknya di belakang rumah.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri, mengesahkan menerima laporan kejadian itu sekitar pukul 9 malam.
“Serangan dipercayai berlaku awal pagi semalam ketika mangsa berada di kawasan kandang kambing miliknya di belakang rumah. Akibat kejadian itu, mangsa mengalami beberapa kecederaan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN),“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Lokasi kejadian terletak berdekatan Hutan Simpan Berembun, dan pihak PERHILITAN akan memasang kamera perangkap untuk mengesan kehadiran haiwan terbabit. – Bernama