• 2025-09-12 01:20 PM

ALOR SETAR: Seorang lelaki dan wanita ditemui maut dengan kesan tikaman pada bahagian badan dipercayai dibunuh di Taman Nona, Guar Chempedak berhampiran Yan semalam.

Ketua Polis Daerah Yan Supt Mohamad Hamizi Abdullah menyatakan pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 9.40 malam.

Kejadian tersebut membabitkan seorang lelaki berumur 30 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun yang ditemui mati dengan kesan kecederaan pada badan akibat ditikam menggunakan senjata tajam.

Wanita itu ditemui di tempat duduk hadapan penumpang kereta Proton Wira di hadapan sebuah rumah manakala lelaki berkenaan ditemui dalam keadaan tertiarap di atas jalan.

Beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan tentang hubungan antara wanita dengan lelaki terbabit.

Pihak polis sedang dalam usaha mengenal pasti suspek yang terlibat dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk tindakan lanjut. – Bernama