• 2025-09-12 03:48 PM

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyokong cadangan kerajaan untuk memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebagai sebahagian daripada agenda reformasi institusi negara.

Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata langkah itu antara tuntutan rakyat yang sekian lama disuarakan bagi menjamin proses keadilan yang benar-benar bebas daripada sebarang pengaruh politik.

“Dengan adanya pemisahan ini, kebebasan badan kehakiman akan lebih terjamin, selain meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara yang telus, adil dan bebas daripada konflik kepentingan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata usaha itu adalah bukti komitmen kerajaan memperkukuh institusi negara, mengangkat integriti sistem perundangan dan memastikan prinsip keadilan ditegakkan sebagai asas utama tatakelola negara.

Sehubungan itu, ABIM menyeru semua parti politik dan pertubuhan masyarakat sivil untuk memberikan sokongan penuh terhadap pindaan dan proses perundangan berkaitan bagi merealisasikan reformasi institusi berkenaan.

Sebelum ini, Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan bersetuju secara prinsip untuk melaksanakan pengasingan penuh peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan berasingan memaklumkan bagi tujuan itu, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 akan digubal secara berasingan bagi mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang mempunyai kuasa sendiri. – Bernama