SIBU: Seorang lelaki warga Indonesia, Heriadi, 39 tahun, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya di sebuah pondok kebun di Jalan Rantau Panjang bulan lepas.
Tertuduh memahami pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Romario Jonoi, tetapi tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, Heriadi didakwa menyebabkan kematian seorang lelaki dikenali sebagai Andi pada kira-kira 7 malam pada 22 Jun lepas di pondok kebun tersebut.
Kes ini dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Aiman Zarith Zahrullail mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah memerintahkan Heriadi direman lanjut sementara menunggu sebutan dan pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi.
Sebutan semula kes jenayah ditetapkan pada 29 Ogos ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Heriadi dan isterinya, Keti, 36 tahun, turut didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Pasangan itu ditemui di tepi jalan di Jalan Teku Pasai-Siong pada 23 Jun lepas tanpa dokumen yang sah.
Kesalahan imigresen ini membawa hukuman denda sehingga RM10,000, penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya, serta boleh dikenakan tidak lebih enam sebatan.
Tiada pengakuan direkodkan, dan mahkamah menetapkan 17 Julai untuk sebutan semula kes imigresen tersebut. – Bernama