JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai mengintai seorang wanita di dalam tandas di pusat membeli-belah di Jalan Flora Utama, Batu Pahat di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat Supt. Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata kejadian berlaku kira-kira 12.30 tengahari ketika mangsa, seorang perempuan tempatan berumur 28 tahun menyedari dirinya sedang diintai oleh seorang lelaki.

“Mangsa yang ternampak seorang lelaki sedang mengintai dari bahagian ruang bawah dinding pemisah antara tandas bersebelahan dengan tandas mangsa bertindak menjerit meminta tolong dan turut menjirus air paip ke arah muka suspek.

“Pengawal keselamatan bertugas telah menahan suspek berusia 24 tahun yang bersembunyi dalam bahagian tandas sebelah tandas mangsa dan menyerahkan suspek kepada pihak polis Batu Pahat untuk tindakan lanjut,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil semakan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan.

“Suspek telah ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula hari ini hingga Isnin depan untuk tindakan dan siasatan lanjut,“ katanya.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 58 saat yang memaparkan seorang lelaki ‘dicekup’ dan sedang ‘disoal siasat’ oleh seorang pengawal keselamatan di dalam tandas wanita.