KUCHING: Seorang lelaki maut selepas dihempap sebuah kereta semasa melakukan kerja penyelenggaraan di sebuah bengkel di Miri hari ini. Kejadian itu dilaporkan kepada Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak pada jam 11.03 pagi.
Menurut kenyataan pihak bomba, “Setibanya di tempat kejadian, didapati seorang lelaki dikenali Jacky Huang Nai Kuei tersepit di bawah kenderaan jenis Toyota Hilux di dalam bengkel itu.”
Pasukan penyelamat menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa sebelum mayat diserahkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi Balai Polis Miri menerusi talian 085-427093 atau Insp Nixon Malang di 016-8865949.
Beliau juga mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan gambar kejadian di media sosial. - Bernama