• 2025-08-11 07:41 PM

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut dipercayai akibat sesak nafas ketika menyertai acara berbasikal sejauh 50 kilometer di Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata akibat mengalami sesak nafas, lelaki warga tempatan berusia 27 tahun itu terjatuh ke atas jalan di Kilometer 13 dan tidak sedarkan diri.

“Rawatan awal telah diberikan di tempat kejadian sebelum mangsa dibawa ke Hospital Ampang, namun disahkan meninggal dunia sejurus sampai di hospital.

“Bedah siasat dilakukan pagi ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron meminta individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat SM Mohd Nasyran Ab Wahab di talian 03-9021 2222 atau balai polis berhampiran- BERNAMA