• 2025-06-25 08:54 AM

SEREMBAN: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta dan sebuah treler membawa muatan tong gas petroleum cecair (LPG) di Kilometer 13 Jalan Lukut-Sepang, Port Dickson hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin berkata kejadian berlaku 3.30 petang tadi melibatkan kereta jenis Proton Saga dan Proton Wira serta treler jenis Scania G400.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu Proton Wira berusia 51 tahun itu cuba memotong sebuah kenderaan di garisan berkembar namun gagal lalu berlanggar dengan treler dari arah bertentangan.

“Treler berkenaan cuba mengelak ke bahu jalan namun perlanggaran tetap berlaku menyebabkan treler itu terbalik dan muatan tong gas terjatuh lalu terkena kereta Proton Saga.

“Pemandu Proton Wira itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala dan kaki, manakala pemandu treler iaitu lelaki berumur 44 tahun cedera ringan di kepala dan siku kiri,“ katanya dalam satu kenyataan.

Maslan berkata pemandu Proton Saga iaitu lelaki berusia 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.