TASEK GELUGOR: Seorang lelaki berusia 34 tahun ditemukan tidak bernyawa di dalam sebuah kereta yang berkunci di belakang lot kedai Taman Ara Mutiara malam tadi. Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.50 malam dan segera bertindak ke lokasi.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis, kereta jenis Mazda CX5 itu ditemukan dalam keadaan enjin masih hidup. “Pemeriksaan mendapati seorang lelaki tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu, dengan pintu kereta berkunci,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Bomba menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kereta, namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di lokasi.
Dalam kejadian terpisah di Flat 100 Sungai Pinang, Jelutong, seorang lelaki warga emas turut ditemukan meninggal dunia di dalam rumah yang berkunci. Bomba tiba di lokasi pada 12.45 tengah malam dan berjaya membuka pintu rumah. Warga emas tersebut disahkan tidak bernyawa oleh pihak kesihatan.
Kedua-dua kes telah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut - BERNAMA