KLANG: Seorang bekas pengarah syarikat pengendali umrah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan menyalahgunakan harta berjumlah RM48,960.20 dua tahun lepas.
Datuk Zulkarnain Endut, 44, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat dan Majistret Nor Azilah Mat selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di dua mahkamah.
Bagi pertuduhan pertama di hadapan Siti Zubaidah, tertuduh didakwa menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM27,960.20 milik seorang lelaki berusia 45 tahun di Jalan Tanjung Shawal, Klang antara 1 Feb hingga 28 Julai 2023.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua di hadapan Nor Azilah, Zulkarnain didakwa menyalahgunakan wang tunai RM21,000 milik seorang lelaki bagi pakej umrah melalui Emraz Travel and Tours Sdn Bhd yang gagal dilaksanakan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan bersama seorang lagi individu yang masih bebas di Bandar Sultan Suleiman, Klang antara 23 Februari hingga 29 Mac 2023.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, manakala pertuduhan kedua turut dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Salman Alfarisi Nawawi dan Ahmad Sulfie Abu Hassan, yang masing-masing mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000 dan RM15,000.
Peguam Muhammad Nur Aiman Mohd Lazim yang mewakili tertuduh, memohon agar mahkamah mempertimbangkan jaminan minimum kerana anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga, selain akaun peribadi telah disita manakala akaun syarikatnya dibekukan.
“Untuk makluman mahkamah, tertuduh juga sedang berdepan beberapa kes saman sivil di Perak dan Negeri Sembilan, malah baru sahaja didakwa atas kes lain di Sabah dua hari lepas,“ katanya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM8,500, iaitu RM2,500 bagi pertuduhan pertama dan RM6,000 bagi pertuduhan kedua. Sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Sept depan. - Bernama