• 2025-07-02 09:41 AM

BUTTERWORTH: Seorang lelaki nyaris maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya ditembak individu tidak dikenali di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nyior, petang tadi. Kejadian berlaku kira-kira jam 5.40 petang ketika mangsa sedang menunggu anaknya pulang dari sekolah.

Menurut sumber, suspek mendekati kenderaan mangsa sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah cermin sisi pemandu. Mangsa yang berusia lingkungan 40-an dilaporkan tidak cedera dan suspek berjaya melarikan diri dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Anuar Abdul Rahman mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan. “Kami akan mengeluarkan kenyataan rasmi tidak lama lagi,“ katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, gambar kejadian telah tular di media sosial, menunjukkan kerosakan pada kenderaan mangsa akibat tembakan.