• 2025-10-05 10:27 PM

SIBU: Polis menahan seorang lelaki kerana memandu secara melulu sehingga merempuh motosikal dan beberapa kenderaan lain berhampiran sebuah sekolah di Jalan Oya.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata saringan awal mendapati lelaki dalam lingkungan 20-an itu positif dadah amphetamine.

Kejadian berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan St Elizabeth melibatkan sebuah kereta melanggar sebuah motosikal sehingga menyebabkan penunggangnya terjatuh.

Selepas kejadian itu, pemandu kereta telah melarikan diri dan turut melanggar beberapa kenderaan lain di situ.

Zulkipli berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kejadian itu tular di media sosial menerusi video berdurasi 1 minit 29 saat. – Bernama