JOHOR BAHRU: Seorang lelaki berusia 57 tahun mengalami kerugian besar melebihi RM260,000 selepas diperdaya sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang diiklankan melalui Facebook.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat, berkata mangsa membuat laporan di Balai Polis Pelangi Indah setelah menyedari dirinya ditipu oleh individu yang berpura-pura sebagai ejen pelaburan.
“Siasatan awal mendapati mangsa tertarik dengan iklan pelaburan di Facebook sebelum berhubung dengan seorang wanita bernama ‘Olivia Leong’ melalui WhatsApp. Suspek menjanjikan pulangan sehingga 80 peratus dalam tempoh singkat,“ katanya.
Mangsa kemudian diarahkan memuat turun aplikasi tertentu dan berurusan dengan seorang lagi individu bernama ‘George’ untuk transaksi kewangan.
Raub berkata mangsa mula menyedari penipuan itu apabila cuba mengeluarkan wang pelaburannya tetapi diminta membuat pelaburan tambahan.
“Sebanyak sembilan transaksi dilakukan antara 4 hingga 17 Julai, dengan jumlah kerugian mencecah RM267,888,“ jelasnya.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan, dan denda.
Polis menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran pelaburan luar biasa di media sosial dan tidak mudah memberikan maklumat peribadi.
“Orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 atau semak melalui portal Semak Mule,“ kata Raub. - Bernama