• 2025-09-12 05:37 PM

GEORGE TOWN: Seorang lelaki yang mempunyai rekod sakit mental meninggal dunia selepas mengamuk di rumah keluarganya di Taman Desa Baru, Gelugor awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata pihaknya menerima laporan daripada kakak mangsa pada 3.58 pagi memaklumkan adik lelakinya telah mengamuk dan meminta bantuan kecemasan daripada polis.

Pasukan polis yang tiba di tempat kejadian menemukan seorang lelaki berusia 48 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tertiarap di bahagian dapur.

Lelaki terbabit kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas Hospital Pulau Pinang yang tiba di lokasi.

Siasatan oleh polis di tempat kejadian mendapati lelaki itu telah bertindak agresif sehingga mengancam keselamatan ahli keluarga.

Bagaimanapun, lelaki itu telah terjatuh ketika cuba ditenangkan oleh ahli keluarga dan tidak sedar diri.

Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Pulau Pinang menunjukkan punca kematian lelaki itu akibat paru-paru berair.

Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Bernama