SHAH ALAM: Isu letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya akan dibahaskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kali ini, menurut Speaker DUN Selangor Lau Weng San. Perbincangan itu akan diadakan selepas sesi penerangan khas oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari atau wakilnya.
Lau menjelaskan bahawa perbahasan akan berlangsung selepas pembentangan Rang Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2025. “Akan ada perbahasan selepas ini pada sebelah petang. Menteri Besar akan berjumpa dengan semua ahli dewan untuk memberi taklimat,“ katanya di Wisma DUN Selangor hari ini.
Sebelum ini, Dr Afif Bahardin (PN-Taman Medan) mengemukakan rayuan daripada 20 mangsa yang terkesan akibat insiden letupan pada 1 April lalu supaya isu itu dibincangkan dalam persidangan DUN. Namun, Lau tidak membenarkan perkara itu dibentangkan kerana ia bertindih dengan permohonan yang telah difailkan oleh Amirudin.
“Saya ingin menekankan bahawa sebab utama kenapa rayuan itu tidak dibenarkan adalah kerana sudah ada permohonan daripada Menteri Besar untuk membincangkan perkara ini di bawah agenda ini,“ jelas Lau.
Persidangan DUN Selangor bermula hari ini dan dijangka berlangsung hingga 11 Julai.