JAKARTA: Sebuah gunung berapi meletus di timur Indonesia awal pagi Sabtu, mengakibatkan gangguan kepada lalu lintas udara di Bali. Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), 24 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan.
“Letusan itu direkodkan pada 1.05 pagi waktu tempatan, dengan awan abu mencapai ketinggian 18,000 meter dari atas puncak,“ kata Jurucakap BNPB Abdul Muhari.
Walaupun gunung berapi itu diletakkan pada tahap amaran tertinggi (Tahap 4), tiada pemindahan penduduk atau kecederaan dilaporkan. Abu letusan berwarna kelabu hingga hitam dengan intensiti tinggi, bergerak ke arah barat daya, barat, dan barat laut.
Alat seismik merekodkan gegaran kuat 47.3 milimeter semasa letusan yang berlangsung selama 14 minit. Letusan ini menambah senarai aktiviti gunung berapi aktif di Indonesia, yang terletak di Lingkaran Api Pasifik.
Pihak berkuasa terus memantau keadaan dan mengeluarkan amaran kepada penerbangan untuk mengelakkan kawasan terjejas. - Bernama