LANGKAWI: Sebulan sebelum melepaskan seragam dan pangkat yang disandang, Panglima Tentera Udara (PTU) Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan memilih untuk memberikan hadiah paling bermakna buat pasukan yang ditatangnya seperti keluarga iaitu persembahan terakhir di langit Langkawi.

Bukan sekadar persembahan aerobatik untuk pertunjukan udara sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) tetapi ia juga sebagai tanda kasih kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menjadi nadi hidup beliau selain bukti keberanian, pengalaman dan semangat juang yang tidak pernah luntur dalam dirinya.

Hari ini merupakan hari ketiga berturut-turut Mohd Asghar Khan, atau lebih mesra dengan panggilan Gunjiz dalam kalangan anak buahnya, menerbangkan pesawat pejuang ‘Toruk Makto’ yang dihiasi livery Jalur Gemilang.

Anak kelahiran Selangor itu berkata penglibatan beliau dalam pertunjukan udara LIMA’ 25 adalah untuk membantu pasukannya yang kekurangan juruterbang bagi melakukan aksi aerobatik pada pameran edisi ke-17 tersebut.

“Untuk pertunjukan udara kali ini, kita kekurangan anggota pasukan aerobatik kerana perkara-perkara yang berlaku di rantau dunia dan itu adalah antara sebab saya kembali terbang.

“Selain itu, saya akan bersara sebulan lagi, jadi saya ingin berseronok,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Lebih menguatkan semangat Mohd Asghar Khan untuk kembali menerbangkan pesawat tempur itu ialah apabila rakan sejawat beliau dari luar negara yang datang ke Malaysia memaklumkan sesetengah daripada pegawai atasan mereka masih melakukan penerbangan.

“Sebenarnya, sudah lama saya tidak menerbangkan pesawat. Bagaimanapun, bermula tahun lepas, sesetengah rakan sejawat dari luar negara datang ke Malaysia dan memberitahu saya beberapa jeneral mereka masih menerbangkan pesawat, jadi saya memutuskan untuk memintas mereka... dari situ, saya mula terbang semula,” katanya.

Selain itu, Mohd Asghar Khan ingin mengotakan janjinya kepada pasukan aerobatik terkenal antarabangsa Russian Knights iaitu jika mereka kembali membuat persembahan di pameran tersebut pada 2025, beliau juga akan kembali terbang.

Pada Selasa lepas iaitu hari pertama LIMA’25, beliau melakar sejarah tersendiri apabila menjadi PTU pertama yang menerbangkan pesawat dalam pertunjukan udara sejak pameran itu dianjurkan pada 1991.

Mohd Asghar Khan membuka tirai pertunjukan udara dengan menerbangkan pesawat pejuang Su-30MKM, yang juga dikenali sebagai Toruk Makto, dan melakukan formasi mendebarkan sehingga mencuri tumpuan para hadirin.

Lebih manis lagi, beliau menerbangkan pesawat itu bersama Kolonel Sting, atau nama sebenarnya Mohd Norazan Othman, yang merupakan anak didiknya semasa berada di Skuadron MiG-29N.

Mohd Asghar Khan mula menceburi Angkatan Tentera Malaysia pada 18 Julai 1983 sebagai pegawai kadet di Maktab Tentera Diraja dan memulakan kerjaya sebagai juruterbang pesawat pejuang TUDM pada 1985.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau ialah Pegawai Memerintah No 19 Skuadron MiG-29N, Pegawai Memerintah No 11 Skuadron SU-30MKM, Komander Pangkalan Udara Gong Kedak, Asisten Ketua Staf (AKS) Operasi dan Strategi (Markas Tentera Udara), AKS Operasi dan Latihan (J3) Markas Angkatan Bersama, Panglima Pendidikan dan Latihan Udara dan Timbalan PTU.

Mohd Asghar Khan dilantik sebagai PTU pada 7 Mac 2022 menggantikan Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad yang bersara.