BANGI: Lima penghantar makanan didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan di Semenyih minggu lepas.

Mohd Yuree Ranoff Mohd Bachuri, 41, Azharul Azuan Mohd Azan, 34, Tengku Izham Tengku Hamid, 22, Mahazir Nordin, 43, dan Syamsul Qamar Ayob, 40, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 25 April untuk sebutan kes bagi serahan laporan kimia, forensik dan bedah siasat.

Kelima-lima tertuduh didakwa bersama-sama membunuh Shahril Samad, 41, di Jalan TPS 2/3, Taman Pelangi Semenyih 2, Beranang di sini pada 9.54 malam, 20 Feb lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Mohd Hafiz.

Sementara itu, abang mangsa Shah Rizad Samad, 43, ketika ditemui pemberita berharap agar hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh selain berharap keadilan dapat diberikan.

“Kami tak harap banyak cuma apa yang terjadi dapat diselesaikan dengan segera. Moga hukuman yang setimpal diberi kepada mereka (tertuduh),“ kata Shah Rizad yang hadir pada prosiding hari ini bersama adiknya, Shazuan, 27.

Pada 21 Feb lepas, Bernama melaporkan mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga telah terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan berkenaan sebelum ditarik oleh sekumpulan lelaki dan dipukul selain turut diikat dan dibiarkan terbaring di atas jalan raya berhampiran keretanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image