SEMARANG: Wilayah Jawa Tengah, Indonesia bakal menempatkan loji janakuasa suria terapung (PLTS) di dua lokasi iaitu Kedungombo di Daerah Sragen dan Gajahmungkur di Daerah Wonogiri, lapor agensi berita ANTARA.
Pengarah Pembangunan Perniagaan dan Perdagangan PT PLN Indonesia Power, Julita Indah, berkata di Semarang pada Sabtu bahawa pembinaan PLTS itu merupakan sebahagian daripada Projek Strategik Nasional (PSN).
Pembinaan PLTS disasarkan bermula pada 2025 dengan tempoh pembinaan sekitar 14 bulan, dan setiap loji dijangka menjana 100 megawatt.
“Pembinaan PLTS tidak akan mengambil masa lama. Kami berharap dapat memulakan ‘operasi komersial’ menjelang akhir 2026 atau awal 2027,” katanya.
Beliau berharap dua PLTS itu akan merancakkan ekonomi tempatan kerana berpotensi membuka peluang pekerjaan kepada ratusan pekerja.
Selain itu, PLTS terapung di Gajahmungkur dan Kedungombo juga dijangka menjadi tarikan unik kepada pelabur dan pelancong.
Sementara itu, Gabenor Jawa Tengah Ahmad Luthfi menyatakan sokongan terhadap pembangunan PLTS terapung itu, terutamanya kerana ia menggalakkan pertumbuhan industri hijau.
“Saya akan berkoordinasi dengan daerah-daerah terlibat. Oleh kerana ia termasuk dalam Projek Strategik Nasional, maka ia perlu dilaksanakan,” katanya.
Luthfi baru-baru ini bertemu dengan Duta Kesatuan Eropah (EU) dan wakil dari 12 negara anggota EU di Surakarta bagi membincangkan inisiatif industri hijau.
Beliau memaklumkan bahawa pelabur sentiasa bertanya mengenai ketersediaan tenaga hijau sebagai syarat untuk melabur di Jawa Tengah.
“Pada dasarnya, kami menyokong usaha ini. Ia perlu direalisasikan kerana kami menggalakkan pelaburan dan soalan utama yang sering diajukan ialah sama ada ‘tenaga hijau’ tersedia,” katanya.
-- BERNAMA-ANTARA