KUALA LUMPUR: Lokasi kemalangan yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) semalam, antara seksyen di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) yang telah dikenal pasti bagi kerja naik taraf pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pelbagai inisiatif juga telah diambil sejak 2023 bagi menambah baik laluan Gerik-Jeli, khususnya di Jalan Persekutuan FT04 itu.
Beliau berkata pada Jun 2023, peruntukan sebanyak RM30 juta diluluskan untuk membina semula sebahagian laluan di JRTB, dan dua bulan selepas itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta untuk menaik taraf laluan itu.
“Peruntukan ini telah digunakan bagi pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan di beberapa seksyen kritikal FT04,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, antara kerja-kerja yang dilaksanakan termasuk menurap semula jalan serta pembaikan kemudahan, jambatan, lampu jalan dan lampu isyarat di kedua-dua arah laluan.
Nanta berkata semua kerja naik taraf di di FT04 disiapkan secara berperingkat antara Julai hingga Ogos 2023 melibatkan kos RM55.73 juta berdasarkan tahap kerosakan jalan yang dinilai melalui ‘Pavement Condition Assessment (PCA)’.
Pada 2024 pula, sejumlah RM7.2 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan pelbagai kerja pembaikan di beberapa seksyen lain di laluan itu.
Nanta berkata walaupun siasatan polis terhadap insiden itu masih dilaksanakan, beliau telah menerima pelbagai reaksi berkaitan kondisi laluan jalan raya itu seperti yang tular di pelbagai platform media sosial.
“Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, kementerian akan memberikan komitmen penuh dalam memastikan infrastruktur jalan raya adalah selamat dan selesa untuk pengguna jalan raya.
“Pada masa sama, perlu saya tekankan keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab semua, termasuklah pengguna jalan raya,” katanya.