GUA MUSANG: Polis dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) masih tidak dapat mengesan lokasi sebenar kejadian seorang lelaki diserang hidupan liar dekat Kampung Dalam Senduk, Jerek di sini, 8 Sept lepas.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo bagaimanapun berkata Perhilitan masih menjalankan operasi pemantauan dan kawalan di kawasan perkampungan berkenaan susulan daripada kejadian itu.

“Kita tidak menjumpai apa-apa kesan dipercayai beruang yang menyerang seorang lelaki di Kampung Dalam Senduk baru-baru ini.

“Kita nasihatkan semua penduduk serta pekebun agar bergerak secara berkumpulan ketika melakukan aktiviti di hutan dan kekal berada di rumah jika tiada keperluan penting untuk ke hutan,“ katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang sempena Sambutan Hari Malaysia, di sini hari ini.

Pada Sabtu lepas, Muhamad Zaki Che Mohamed, 33, meninggal dunia selepas bertarung nyawa enam hari di Unit Rawatan Rapi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian ekoran cedera parah diserang beruang.