SEPANG: Sebuah lori melanggar 15 kenderaan lain di jalan susur turun dari Plaza Tol Serenia menghala ke Cyberjaya di sini semalam, dipercayai akibat kerosakan brek.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Supt Shan Gopal Krishnan berkata dalam kejadian 3.30 petang itu, kesemua mangsa yang terlibat tidak mengalami kecederaan dan kemalangan hanya melibatkan kerosakan pada kenderaan.

“Berdasarkan siasatan awal, lori jenis tipper dipandu lelaki dari arah Nilai ke Cyberjaya dipercayai mengalami masalah teknikal (brek) dan telah hilang kawalan lalu melanggar 15 kenderaan lain yang berada di kanan dan kiri jalan untuk menunggu giliran keluar dari susur Tol Serenia menghala ke Cyberjaya.

“Siasatan lanjut masih diteruskan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang atau Inspektor Muhamad Haziq Ab Karim menerusi talian 017-9076260,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, beberapa rakaman video dan gambar berhubung insiden itu tular menerusi media sosial, memaparkan beberapa kenderaan yang rosak teruk dipercayai akibat dirempuh lori itu.