• 2025-09-28 02:40 PM
MAHAR kecam FIFA gantung pemain Malaysia sebagai tidak adil dan hipokrit

KUALA LUMPUR: Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) mengecam keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggantung tujuh pemain bola sepak Malaysia serta mengenakan denda terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Presiden MAHAR Jismi Johari menyifatkan tindakan FIFA itu sebagai tidak adil dan hipokrit meskipun pihaknya menghormati integriti peraturan sukan.

“Pengumuman pantas dan terbuka mengenai sekatan terhadap pemain kita — sedangkan FAM telah menyatakan ia akan membuat rayuan dengan alasan bertindak dengan niat baik dan FIFA sebelum ini mengesahkan kelayakan pemain berkenaan — menunjukkan adanya motif yang dipersoalkan di sebalik tindakan ini.

Jismi menegaskan ia jelas berbeza dengan sikap berdiam diri FIFA terhadap pasukan bola sepak Israel yang terus beraksi di pentas antarabangsa.

Beliau menyatakan terdapat bukti kukuh mengenai pembunuhan beramai-ramai serta pencabulan hak asasi manusia besar-besaran yang dilakukan kerajaan Israel.

Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain berkenaan pada Jumaat kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berhubung pemalsuan dokumen.

Jismi berkata gesaan agar FIFA mengenakan sekatan terhadap Israel seperti yang dikenakan terhadap Rusia telah berulang kali diabaikan.

Menurutnya, sikap berdiam diri itu membuktikan prinsip FIFA tidak dipandu oleh keadilan atau nilai kemanusiaan.

“Ini bukan sekadar soal bola sepak; ia soal kemanusiaan dan prinsip asas keadilan yang sepatutnya dijunjung oleh sukan.

Beliau mempersoalkan bagaimana FIFA boleh menutup mata terhadap genosid tetapi menghukum pemain Malaysia kerana isu birokrasi.

“Kepantasan keputusan ini dibuat dan diumumkan, mendahului proses rayuan FAM, menimbulkan persoalan serius sama ada ini tindakan tatatertib sebenar atau bermotifkan politik.

Jismi menegaskan MAHAR berdiri teguh bersama pemain Malaysia yang terkesan serta FAM.

Beliau menggesa FIFA segera mengkaji semula sekatan tidak seimbang itu.

“Lebih penting lagi, kami menyeru FIFA menunjukkan kepimpinan moral sejati dengan mengambil tindakan tegas terhadap persatuan bola sepak Israel.

Jismi berkata kegagalan berbuat demikian hanya akan mengukuhkan reputasi FIFA sebagai organisasi yang mengutamakan kepentingan politik.

Beliau menyatakan MAHAR bersama badan kemanusiaan lain akan terus memperjuangkan penerapan peraturan antarabangsa yang adil. – Bernama