KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengingatkan mahasiswa agar lebih berhati-hati dan tidak terperangkap dalam skim pinjaman atau pembelian “beli dulu, bayar kemudian” yang boleh menyebabkan beban hutang tinggi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, menyatakan bahawa pihaknya telah menerima maklumat awal mengenai kewujudan skim pembelian yang kemudian ditukar menjadi pinjaman dengan kadar faedah tinggi. Ini menyebabkan mahasiswa terjerat dalam hutang tanpa disedari.
“Banyak pihak telah menghubungi saya dan memaklumkan mengenai isu ini yang semakin membimbangkan. Saya tidak mahu menamakan mana-mana pihak, tetapi laporan yang diterima menunjukkan banyak pelajar berisiko terperangkap dengan jumlah hutang yang besar,“ katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Zambry menegaskan bahawa KPT telah mengarahkan semua universiti untuk mengumpul maklumat terperinci sama ada terdapat mahasiswa yang terlibat dalam skim sedemikian.
“Buat masa ini, siasatan terperinci sedang dijalankan. Yang paling penting, saya ingin menasihati mahasiswa supaya tidak terperangkap dalam skim sebegini kerana ia akan menyusahkan mereka dan mengganggu tumpuan pengajian,“ jelasnya. - Bernama