SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini hari ini melanjutkan tempoh jagaan adik kepada kanak-kanak autistik Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin kepada nenek dan datuk saudaranya selama dua bulan lagi.

Peguam Lavanesh Haresh Mahadevan berkata ia bagi memberi laluan untuk penilaian berkaitan dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menentukan hak jagaan kepada ibu bapanya iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf atau kepada ibu dan bapa Zaim Ikhwan iaitu atuk dan nenek kanak-kanak berkenaan.

Peguam kepada ibu bapa Zayn Rayyan itu berkata anak guamnya memohon perintah mahkamah supaya hak penjagaan anak bongsu mereka dikembalikan kerana buat masa ini JKM meletakkan kanak-kanak berkenaan di bawah jagaan dua individu itu (nenek dan datuk saudara).

“Sebab kami mengemukakan permohonan itu adalah kerana keluarga, sama ada ibu bapa atau datuk neneknya, berada dalam kedudukan untuk menjaga beliau. Jangan lupa bahawa beliau juga seorang kanak-kanak autistik.

“Saya tidak pasti sama ada semua pihak menyedari perkara ini atau tidak, tetapi dia seorang kanak-kanak autistik yang memerlukan tahap keakraban tertentu dengan penjaganya. Ia bukan sekadar seorang profesional atau individu yang tidak berapa dikenalinya, tetapi seseorang yang telah membesarkannya,“ katanya kepada media selepas prosiding.

Terdahulu, semasa prosiding di hadapan Majistret Ameera Mastura Khamis, JKM mengesyorkan untuk menempatkan kanak-kanak berusia enam tahun itu di rumah selamat namun ia dibantah pasukan peguam yang mengendalikan kes bagi pasangan itu hari ini.

Mahkamah kemudian mengarahkan JKM dan pasukan peguam bela untuk berbincang mengenai perkara berkenaan sebelum kedua-dua pihak mencapai resolusi untuk mengekalkan hak penjagaan kepada nenek dan datuk saudaranya sementara satu penilaian dilakukan.

Mahkamah turut menetapkan 20 syarat yang perlu dipatuhi, antaranya Zaim Ikhwan dan Ismanira dibenarkan tempoh melawat selama 24 jam seminggu selain bantuan jagaan turut dinaikkan kepada RM350 kepada penjaga semasa iaitu nenek dan datuk saudaranya.

Tarikh sebutan semula ditetapkan 16 Mei depan.