• 2025-10-13 08:31 PM

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 27 Oktober ini untuk mendengar rayuan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama tiga individu lain terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak permohonan kebenaran mereka untuk mencabar tindakan kerajaan memberhentikan peruntukan dana bagi kawasan Parlimen Muar.

Peguam Lim Wei Jiet, yang mewakili keempat-empat pemohon, mengesahkan tarikh pendengaran itu ketika dihubungi Bernama.

Pengurusan kes telah dijalankan di hadapan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Rayuan Ahmad Izuddin Fajri Fakrullah.

Pada Disember tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan oleh Syed Saddiq dan tiga pengundi dengan alasan ia difailkan di luar tempoh yang ditetapkan.

Dalam permohonan itu, Syed Saddiq dan tiga pengundi di kawasan Parlimen Muar itu menamakan Perdana Menteri serta Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.

Mereka memohon perintah bagi membatalkan keputusan memberhentikan atau membatalkan baki RM500,000 daripada jumlah RM1.7 juta yang sepatutnya disalurkan kepada akaun bank Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar.

Dana tersebut adalah untuk tujuan perbelanjaan program kebajikan, kesejahteraan rakyat dan bantuan bencana di kawasan Parlimen Muar.

Pemohon juga menuntut supaya akses Syed Saddiq kepada sistem myKHAS yang menguruskan dana pembangunan RM2 juta untuk kawasan Parlimen dikembalikan.

Mereka turut memohon pembatalan pembatalan beberapa projek yang telah diluluskan bernilai RM230,300.

Selain itu, mereka mencabar tindakan responden enggan meluluskan sebarang peruntukan kepada Syed Saddiq bagi program di bawah inisiatif ‘Projek Mesra Rakyat’ atau program seumpamanya bagi tahun 2024.

Mereka mendakwa bahawa tindakan tersebut menafikan hak kesamarataan Syed Saddiq selaku Ahli Parlimen Muar dan tiga pemohon lain sebagai pengundi kawasan Parlimen itu seperti termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. – Bernama