IPOH: Mahkamah Tinggi di sini secara tentatif menetapkan empat hari untuk mendengar keterangan dua saksi dari Indonesia yang melibatkan bukti tambahan dalam rayuan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, terhadap sabitan kesalahan merogol pembantu rumahnya, lima tahun lalu.

Peguam Yong, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, memaklumkan pemberita bahawa Mahkamah Tinggi akan menilai bukti tambahan berdasarkan hujahan daripada kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan. Selepas itu, mahkamah akan memberikan pendapatnya dan mengemukakan perkara tersebut kepada Mahkamah Persekutuan untuk dipertimbangkan dalam rayuan utama pemohon.

“Prosiding seterusnya melibatkan beberapa tarikh tentatif yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi. Tarikh tersebut adalah 13, 14, 21, dan 22 Jan 2025, tertakluk kepada pengesahan oleh hakim Mahkamah Tinggi,” katanya.

“Pengurusan kes di Mahkamah Persekutuan dijadualkan pada 3 Dis, dan kami akan memaklumkan mahkamah mengenai perkembangan terkini pada waktu itu,” tambahnya.

Peguam lain yang mewakili Yong Salim Bashir, berkata mereka akan memanggil dua saksi iaitu peguam mangsa dan seorang notari awam, kedua-duanya dari Jakarta, Indonesia.

“Kami akan mengemukakan soalan berkaitan dokumen yang diserahkan kepada YB Paul (Yong), diikuti dengan soalan pengesahan. Pihak pendakwaan juga akan diberi peluang untuk mengemukakan soalan pengesahan mereka sendiri,” katanya.

“Berdasarkan rekod, kami akan berusaha sebaik mungkin untuk membawa mangsa. Jika tidak dapat, kami akan menunggu keputusan mahkamah. Setakat ini, dua saksi, kedua-duanya dari Indonesia, telah mengesahkan kehadiran mereka,” kata Salim.

Hisyam berkata pengurusan kes hari ini diadakan di kamar di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi Nur Laila Mohamed Nazil.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Muhammad Zaki Abdul Kudos, dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Yasinnisa Begam Seeni Mohideen, dan Liyana Zawani Mohd Radzi, manakala pihak pembelaan diwakili oleh Hisyam, Salim, dan peguam Low Wei Loke.

Pada 12 Nov, Mahkamah Persekutuan Putrajaya membenarkan permohonan Yong untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya terhadap sabitan kesalahan merogol pembantu rumahnya.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal membenarkan lima dokumen diterima sebagai bukti tambahan, dengan menggambarkan dokumen tersebut sebagai penting kerana ia dilihat menunjukkan bahawa mangsa mungkin telah memberikan keterangan palsu semasa perbicaraan Yong.

Pada 1 Mac tahun ini, Mahkamah Rayuan dalam kuputusan majoriti 2-1, menolak rayuan Yong dan mengekalkan sabitan terhadap Yong atas kesalahan merogol pembantu rumahnya yang berusia 23 tahun dari Indonesia di dalam sebuah bilik, di rumahnya di Ipoh antara 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Bagaimanapun, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengurangkan hukuman penjara Yong daripada 13 tahun kepada lapan tahun serta dua sebatan. Yong kemudian mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu ke Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai. Yong dibebaskan dengan jaminan RM30,000 bersama seorang penjamin dan diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah.