GUA MUSANG: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperuntukkan sebanyak 69 ekor lembu sempena pelaksanaan Majlis Ibadah Korban Perdana Masyarakat Orang Asli Negeri Kelantan tahun ini.

Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Datuk Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata program tahunan itu melibatkan penyertaan kira-kira 3,700 keluarga dari tujuh penempatan Orang Asli di daerah ini iaitu Pos Hendrop, Pos Tuel, Sungai Rual, Pos Lebir, Pos Brooke, Pos Kuala Lah dan Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis.

Beliau berkata program ibadah korban di perkampungan Orang Asli telah menjadi antara acara tahunan MAIK bagi meraikan Aidiladha bersama komuniti berkenaan.

“Inisiatif itu bukan sahaja bertujuan menyantuni masyarakat Orang Asli Muslim, malah sebagai medan pendidikan kepada mereka dan guru agama MAIK mengenai kepentingan serta pengertian sebenar ibadah korban.

“Melalui sumbangan lembu korban ini, kita harap seluruh komuniti Islam Orang Asli di kawasan terbabit dapat merasai nikmat daging korban, selain menjadi lambang keprihatinan dan kasih sayang MAIK terhadap masyarakat ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri kemuncak program di RPS Kuala Betis, di sini, hari ini.

Majlis ibadah korban itu bermula pada hari kedua Aidiladha di penempatan masing-masing, manakala acara kemuncaknya berlangsung hari ini.