MACHANG: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia hari ini menubuhkan sekolah tahfiz al-Quran dalam penjara yang pertama di negeri ini iaitu di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang.

Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra bertitah projek rintis itu memperlihatkan kecaknaan MAIK untuk memainkan peranannya sebagai badan pengawal tunggal hal ehwal agama Islam di negeri ini.

Baginda bertitah sasaran dakwah MAIK bukan hanya kepada masyarakat umum sahaja malah mereka yang tersalah langkah dalam kehidupan turut diberikan perhatian agar prospek dapat kembali ke jalan agama yang sebenar.

“Terima kasih kepada MAIK, Jabatan Penjara Kelantan dan PPA Machang kerana menyahut seruan merealisasikan penubuhan sebuah institusi tahfiz dan keagamaan di penjara bagi melahirkan hufaz berilmu, berketerampilan dan berakhlak mulia dalam kalangan prospek,“ titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan di PPA Machang di sini hari ini.

Sekolah tahfiz penjara yang ketiga dalam negara itu dibina di sebuah blok bangunan PPA Machang melalui peruntukan MAIK berjumlah RM122,234 dan mula beroperasi 13 Nov tahun lepas melibatkan 30 prospek.

Tengku Muhammad Fakhry turut bertitah agar seluruh komuniti terutama ketua masyarakat serta imam mukim mengambil perhatian serius dalam membantu usaha melahirkan prospek yang hafal al-Quran disambut baik dan mendokong penglibatan golongan itu dalam masyarakat.

“Beta mengharapkan agar adanya dorongan dan penerimaan daripada masyarakat setempat bagi membantu perubahan secara total kepada prospek hingga dapat menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat seperti berkhidmat sebagai imam dan bilal masjid atau surau apabila dibebaskan kelak,“ titah baginda.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penjara Malaysia Datuk Nordin Muhamad berkata penubuhan kelas tahfiz di institusi penjara adalah inisiatif berterusan Jabatan Penjara Malaysia ke arah pembinaan modal insan berteraskan al-Quran dan pendidikan Islam.

Menurutnya model pelaksanaan tahfiz di penjara bermula di Sekolah Agama Tarbiyyah Husnuk Khatimah di Penjara Kluang Johor dan Kelas Tahfiz Khairul Ummah di Penjara Kajang selain kelas tahfiz khas di semua institusi penjara.

“Penglibatan pihak berkuasa agama dan negeri sangat penting bagi membantu lulusan tahfiz ini mendapat pengiktirafan seperti sijil dan diploma yang boleh diterima pakai untuk mendapatkan pekerjaan sekali gus berbakti kepada masyarakat,“ katanya.