• 2025-07-07 05:42 PM

MAJLIS SUKAN NEGARA (MSN) terus memperkasa usaha mewujudkan persekitaran sukan yang selamat melalui program latihan khas untuk pegawai tumpuan utama Kod Sukan Selamat.

Program selama dua hari ini disertai 92 pegawai daripada 57 persatuan sukan kebangsaan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim merasmikan program tersebut yang bertujuan melengkapkan pegawai sebagai ejen kesedaran dan pendidik dalam aspek sukan selamat.

Menurut kenyataan MSN, latihan ini memperkukuh pemahaman pegawai dalam mengenal pasti risiko, tatacara pengelolaan aduan, serta aktiviti meningkatkan kesedaran dalam kalangan atlet.

“Inisiatif ini selari dengan Rangka Kerja Sukan Selamat Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang menekankan tanggungjawab kolektif dari peringkat akar umbi hingga kebangsaan,” jelas kenyataan itu.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut menyasarkan pembentukan jaringan responsif dalam kalangan pegawai tumpuan utama bagi mengurangkan insiden gangguan dan penderaan atlet. - Bernama