SIPITANG: Malaysia bakal mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan proses pengesahan identiti pengguna atau electronic Know Your Customer (eKYC) bagi memastikan kanak-kanak bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu adalah bagi melindungi keselamatan kanak-kanak di alam maya serta memastikan garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh platform berkenaan benar-benar dikuat kuasa.
Beliau menyatakan telah memberikan mesej kepada wakil platform media sosial bulan lalu bahawa Malaysia akan mewajibkan pengesahan identiti terutama untuk menghalang kanak-kanak bawah 13 tahun memiliki akaun.
“Cuma exact timeline saya akan lapor kepada Jemaah Menteri dulu, baru saya akan umumkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan NADI on Wheels atau NOW di Dewan Undangan Negeri Sindumin di sini hari ini.
Fahmi berkata satu pertemuan antara MCMC dengan syarikat platform media sosial akan diadakan minggu depan sebagai langkah penting ke arah merealisasikan pelaksanaan perkara tersebut.
Beliau menekankan proses eKYC juga penting bagi membanteras kegiatan penipuan dalam talian dan penyebaran kandungan berbahaya seperti judi serta iklan palsu.
“Banyak platform disalahgunakan oleh penjenayah untuk tujuan scam... semalam, dalam Parlimen saya ada menjawab soalan... ada angka yang menggerunkan... 78 peratus daripada semua kandungan scam yang telah diturunkan itu adalah daripada Facebook,” katanya.
Inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) iaitu NOW yang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama MCMC bertujuan memperluas capaian digital serta membawa kemudahan teknologi maklumat kepada komuniti luar bandar.
Fahmi berkata sehingga kini, terdapat 1,099 NADI di seluruh negara termasuk 131 di Sabah.
Program NOW di Sipitang turut dilengkapi peranti Starlink dengan kelajuan capaian hingga 250 megabit sesaat dan sejumlah tablet bagi membolehkan komuniti tempatan mempelajari kemahiran digital dan keusahawanan secara dalam talian.
Fahmi turut menyentuh pelaksanaan projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai 2 billion ringgit yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2026.
“Untuk program SALAM, di Sabah kita akan bina juga jaringan kabel dasar laut di pesisir pantai... kabel ini akan dipasang dari Tanjung Aru hinggalah ke Tawau sepanjang pesisir... kita jangka projek ini akan selesai dalam tempoh dua atau tiga tahun,” katanya.
Beliau berkata projek itu akan menjadi keutamaan kementerian bagi memastikan kelancaran rangkaian komunikasi di Sabah dan mengurangkan kebergantungan kepada kabel dasar laut sedia ada.
Pada masa sama, Fahmi turut memaklumkan bahawa MCMC akan menumpukan kepada usaha penyelenggaraan menara telekomunikasi yang sering terjejas akibat banjir dengan pelaksanaan proses site hardening dan penggunaan sistem jana kuasa hibrid. – Bernama