PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri Malaysia, melalui Kedutaan Besar di Bangkok memberikan bantuan kepada dua rakyat Malaysia yang cedera dalam insiden di Ratchadamri, Bangkok pada 7 Ogos.
Kedua-dua mangsa sedang dirawat di hospital berasingan, menurut kenyataan kementerian pada Sabtu.
Kedutaan berhubung rapat dengan pasukan perubatan yang merawat kedua-dua mangsa serta sedang memudah cara perjalanan ahli keluarga terdekat mereka, yang dijangka akan tiba di Bangkok hari ini.
Pegawai konsular daripada Kedutaan juga melawat mangsa untuk memantau keadaan mereka dan memastikan bahawa kedua-dua mangsa serta keluarga mereka menerima sokongan dan bantuan yang diperlukan, menurut kenyataan itu.
Kementerian dimaklumkan bahawa pihak berkuasa Thailand sedang menjalankan siasatan penuh terhadap insiden itu.
“Malaysia memberi kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa Thailand untuk melaksanakan penyiasatan yang telus dan menyeluruh, dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya jika diperlukan.
“Orang awam dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi mengenai insiden ini dan memberi ruang agar proses siasatan berjalan seperti sepatutnya,“ menurut kenyataan itu.
Kementerian Luar Negeri, melalui semua pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara terus komited untuk menjaga kebajikan rakyat Malaysia di luar negara dan menghulurkan bantuan yang diperlukan pada masa-masa sukar, menurut kenyataan itu.
Warganegara Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia yang terdekat atau Bahagian Konsular Kementerian Luar Negeri.
Bernama pada Jumaat melaporkan bahawa dua pelancong Malaysia, seorang lelaki dikenali sebagai Ong, 26 dan seorang wanita dikenali sebagai Gan, 27, cedera parah selepas dibakar oleh seorang lelaki di ibu negara Thailand itu.
Insiden berlaku kira-kira 10 malam apabila suspek datang dari belakang dan menyiram cecair pencair ke atas pasangan itu yang sedang duduk di anak tangga berhampiran sebuah pusat beli-belah. - BERNAMA