WELLINGTON: Malaysia dan New Zealand mengukuhkan kerjasama pendidikan tinggi menerusi perkongsian strategik antara universiti kedua-dua negara.
Perjanjian ini melibatkan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) dengan beberapa institusi pengajian tinggi terkemuka di New Zealand, termasuk Universiti Canterbury.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama ini merangkumi program berkembar, pertukaran kredit, dan penyelidikan bersama.
“Ini memberi manfaat besar kepada pelajar dan tenaga pengajar Malaysia, terutama dalam bidang teknologi hijau dan tenaga boleh baharu,“ katanya selepas Forum Halal dan Minum Teh Bersama Menteri Biosekuriti dan Keselamatan Makanan New Zealand, Andrew Hoggard.
Beliau menekankan bahawa pelajar tajaan MARA, JPA, Petronas, dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan diberi peluang melanjutkan pengajian dalam bidang khusus yang belum ditawarkan di Malaysia.
“Kita mengurangkan penghantaran pelajar ke Amerika Syarikat dan memberi tumpuan kepada kerjasama dengan negara yang lebih selari dengan keperluan kita,“ jelasnya.
UniKL dan University of Canterbury (UC) menandatangani Surat Hasrat (LoI) yang memberi fokus kepada kejuruteraan kimia, teknologi makanan halal, dan pembangunan lestari.
Majlis ini disaksikan oleh Ahmad Zahid dan Hoggard di Perpustakaan Negara Wellington.
Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Prof Dr Azman Senin, berkata kerjasama ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan PBB.
“Kita akan membangunkan program pertukaran pelajar dan penyelidikan bersama untuk meningkatkan mobiliti graduan,“ katanya.
Sementara itu, UPTM menandatangani memorandum persefahaman dengan Victoria University of Wellington (VUW) bagi memperkukuh penyelidikan bersama dan pertukaran akademik.
UPTM juga dalam perbincangan dengan lima universiti lain di New Zealand untuk program pendidikan antarabangsa. – Bernama