ROME: Malaysia menyatakan penghargaan terhadap usaha Itali dalam mencari penyelesaian konflik kemanusiaan di Gaza, selain membincangkan situasi di Ukraine serta perkembangan terkini di Asia Barat, khususnya melibatkan Iran dan Israel.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertukaran pandangan mengenai isu-isu global dan serantau dilakukan semasa pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Itali merangkap Menteri Luar, Antonio Tajani.
“Pertemuan ini mencerminkan komitmen bersama untuk terus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Itali yang telah lama terjalin, berlandaskan prinsip saling menghormati antara satu sama lain,“ katanya.
Kerjasama strategik dalam pelbagai bidang turut dibincangkan, termasuk hubungan Malaysia dan ASEAN dengan Kesatuan Eropah (EU). Anwar menegaskan bahawa Malaysia gembira dengan pemahaman pemimpin Itali terhadap situasi di Gaza, di mana negara itu konsisten memperjuangkan hak rakyat Palestin.
“Kita mahu bekerjasama bukan sahaja dalam bidang ekonomi, tetapi juga dalam mencari penyelesaian konflik seperti Gaza, Ukraine dan Asia Barat,“ jelasnya.
Sebelum ini, Presiden Itali Sergio Mattarella menyifatkan krisis di Gaza sebagai “tidak dapat diterima” dan menyeru tindakan segera masyarakat antarabangsa serta penglibatan negara-negara Arab bagi menangani keadaan yang semakin buruk.