• 2025-09-10 08:49 PM

PUTRAJAYA: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan dron terhadap sebuah kapal utama Global Sumud Flotilla di Tunisia dan menyifatkan ia sebagai tindakan bacul serta melanggar undang-undang antarabangsa.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata serangan terhadap aktivis kemanusiaan itu jelas bertujuan menakut-nakutkan serta melemahkan misi aman yang digerakkan bagi memecahkan kepungan Israel di Gaza.

“Serangan ini adalah tindakan bacul, tidak berperikemanusiaan, melanggar undang-undang antarabangsa dan langsung tidak menghormati nilai sejagat.”

“Ia juga percubaan untuk menghalang, menakut-nakutkan serta melemahkan misi aman yang bertujuan memecahkan kepungan Gaza dan menyampaikan mesej solidariti dunia kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza,” katanya.

Fahmi mengesahkan tiada aktivis Malaysia terlibat dalam insiden serangan dron itu dengan kesemua mereka dilaporkan selamat di Tunisia.

“Saya telah mendapatkan maklumat daripada Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery, yang berada di Tunisia selaku Pengarah Sumud Nusantara Media Coordination Center.”

“Beliau memaklumkan bahawa setakat ini tiada delegasi Malaysia yang terlibat dalam serangan tersebut dan semua aktivis Malaysia selamat di Tunisia,” katanya.

Fahmi berkata Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Cinta Gaza Malaysia akan mengaktifkan Malaysia Flotilla Mission Media Coordination Center di MAPIM Central Warehouse, di Sepang.

“Kementerian Komunikasi akan menyediakan bantuan sewajarnya, khususnya berkaitan Media Coordination Center yang dikendalikan MAPIM sekiranya diperlukan,” katanya.

GSF yang membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pertengahan bulan ini selepas belayar merentasi Laut Mediterranean.

Antara yang menyertai misi itu ialah artis tanah air Zizi Kirana dan Ardell Aryana, serta pendakwah Rahmat Ikhsan atau PU Rahmat.

Kumpulan kedua pula membabitkan 15 aktivis Malaysia termasuk pempengaruh Farah Lee dan ZRA Strim atau nama sebenarnya Zainal Rashid Ahmad.

Flotila kemanusiaan itu bertujuan menarik perhatian kerajaan dari seluruh dunia untuk memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan genosid di Gaza dan membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada mangsa yang memerlukan.

Fahmi berkata Malaysia turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Zionis di Doha.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengeluarkan kenyataan mengecam serangan Israel itu.”

“Serangan ini jelas tidak boleh diterima, malah percubaan untuk menggagalkan mediasi dan rundingan sedang dijalankan bagi menamatkan genosid di Gaza,” katanya.

Agensi Berita Qatar melaporkan Qatar mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel yang menyasarkan bangunan kediaman menempatkan beberapa anggota Biro Politik Hamas di Doha, dan menyifatkannya sebagai pencabulan jelas terhadap undang-undang serta norma antarabangsa selain menimbulkan ancaman serius terhadap keselamatan rakyat Qatar serta penduduk lain. – Bernama