• 2025-07-13 03:54 PM

SANDAKAN: Malaysia terus mempertahankan kedudukannya sebagai peneraju utama dalam ekosistem halal global, namun perlu meningkatkan daya saing dan inovasi bagi mengekalkan keunggulan tersebut. Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menegaskan bahawa pensijilan halal bukan sekadar pematuhan standard, tetapi merangkumi nilai kualiti, kebersihan, ketelusan, dan integriti yang menyeluruh.

“KUSKOP komited untuk memperluas penyertaan PKS dan koperasi dalam industri halal yang kini bernilai lebih USD3 trilion,“ katanya semasa merasmikan Program Halal Success KUSKOP di sini. Beliau menekankan industri halal bukan hanya untuk umat Islam, tetapi telah menjadi ekonomi global yang merentas sempadan.

Ewon turut menggesa usahawan supaya lebih berani berinovasi dan meninggalkan zon selesa dengan menembusi pasaran antarabangsa. “Program seperti Halal Success bukan sekadar latihan, ia peluang membina masa depan. Manfaatkan bimbingan teknikal, perniagaan, dan pembiayaan yang disediakan,“ ujarnya.

Program Halal Success KUSKOP menawarkan platform holistik bagi usahawan membina keupayaan dan keyakinan pasaran -BERNAMA