KOTA BHARU: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menggunakan peket kacang gajus sebagai penyorok selepas menahan sepasang suami isteri warga tempatan.
Rampasan dadah bernilai RM3.1 juta berjaya dirampas dalam operasi Jumaat lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kedua-dua suspek berusia 31 dan 49 tahun itu ditahan di Jalan Padang Sembilan, Kuala Krai selepas kenderaan Proton X70 yang dinaiki mereka kelihatan mencurigakan.
Pemeriksaan menemui 110 bungkusan plastik berisi bunga ganja seberat 60.8 kilogram (kg), ketulan mampat ganja (6.95 kg), dan 150 biji pil yaba.
“Keseluruhan dadah dianggarkan bernilai RM2.37 juta,“ katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.
Susulan tangkapan itu, polis menyerbu kediaman pasangan di Selising, Pasir Puteh dan menemui 22 kg ganja mampat bernilai RM775,000.
Turut dirampas ialah wang tunai, rantai leher, dan barang kemas.
Mohd Yusoff berkata suspek wanita menjalankan perniagaan ayam proses manakala suaminya bekerja sebagai pemandu p-hailing.
Pasangan itu dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah lebih setahun dengan berselindung di sebalik perniagaan sah.
“Sindiket ini dipercayai mempunyai rangkaian lain dan bertindak sebagai pembekal utama, termasuk untuk pasaran luar negara,“ katanya.
Saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah, manakala pasangan itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan narkotik.
Kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 17 Julai di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mohd Yusoff tidak menolak kemungkinan sindiket ini mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa, termasuk kes rampasan 35.4 kg pil yaba pada 27 Jun lepas. – Bernama