CYBERJAYA: Malaysia terus menyokong penuh pembentukan negara Palestin yang merdeka tanpa sebarang prasyarat, menurut Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau menyatakan Malaysia tidak selesa dengan Deklarasi New York yang meletakkan syarat tertentu ke arah kemerdekaan Palestin.
“Kita mahu negara Palestin yang merdeka terlebih dahulu, dan urusan pentadbiran adalah hak rakyat Palestin sendiri,“ jelasnya.
Mohamad mengulas perkara itu selepas majlis sambutan Hari ASEAN ke-58 yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Deklarasi New York dianggap tidak selari dengan dasar luar Malaysia kerana mengandungi prasyarat yang tidak adil.
“Malaysia sentiasa menyokong kemerdekaan Palestin, tetapi kami tidak berpuas hati dengan hasil Deklarasi New York,“ tegasnya.
Ketika ditanya sama ada Malaysia akan menyuarakan bantahan secara rasmi di PBB, Mohamad berkata tiada perbincangan formal dilakukan.
Proses penyediaan dokumen akhir hanya melibatkan beberapa negara tanpa penglibatan penuh anggota PBB.
Pada 31 Julai lalu, PBB menerima dua dokumen utama iaitu “Seruan New York” dan “Deklarasi New York” yang menyokong penyelesaian dua negara.
Namun, dokumen tersebut gagal menangani isu utama iaitu pendudukan haram Israel di Palestin. - Bernama