• 2025-08-23 08:52 PM

KUALA LUMPUR: Perjuangan membela Palestin bukan sekadar berlandaskan simpati, sebaliknya merupakan tanggungjawab moral dan spiritual umat Islam bagi menolak kezaliman daripada terus berleluasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata Malaysia sejak dahulu dikenali sebagai suara moral dunia dalam memperjuangkan Palestin.

“Dasar luar negara kita berpaksikan prinsip ‘neutrality with values’, iaitu berkecuali dalam politik kuasa besar namun tegas berpihak kepada nilai keadilan dan kemanusiaan.

“Pendekatan ini dizahirkan melalui dua jalur yang saling melengkapi, iaitu hard diplomacy dan soft diplomacy,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Ensiklopedia Gaza 101 di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Mohd Na’im berkata Malaysia juga sentiasa konsisten menyuarakan isu Palestin dalam forum antarabangsa termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan menegaskan berulang kali bahawa Palestin berhak menikmati kebebasan, keselamatan dan kedaulatan.

“Selain itu, di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Malaysia menyeru tindakan kolektif bagi menghentikan keganasan terhadap Gaza, malah menyokong resolusi darurat OIC 2021 yang mengutuk serangan tidak berperikemanusiaan ke atas orang awam Palestin,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Na’im memuji inisiatif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang mendokumentasikan pelbagai usaha misi kemanusiaan digerakkan badan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat Malaysia di Palestin menerusi penerbitan Ensiklopedia Gaza 101.

“Dokumentasi seperti ‘Gaza 101’ adalah instrumen diplomasi naratif yang menyediakan data, rekod projek, bukti foto dan testimoni sahih. Ia boleh dijadikan dokumen dasar lembut (soft policy document) yang mengukuhkan lagi hujah Malaysia di PBB, OIC, NAM dan forum antarabangsa lain.

“Lebih daripada itu, ‘Gaza 101’ merupakan cerminan ‘nation branding’ Malaysia sebagai sebuah negara Islam sederhana yang konsisten memperjuangkan keadilan sejagat. Buku ini mengukuhkan kedudukan moral Malaysia di mata dunia, bahawa kita bukan sekadar bercakap, tetapi turut bertindak dan mendokumentasikan bukti,” katanya - BERNAMA