BANGKOK: Malaysia terus memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) menerusi Forum Global UNESCO ke-3 mengenai Etika Kecerdasan Buatan (GFEAI 2025). Menteri Digital Gobind Singh Deo menekankan komitmen negara dalam mempromosikan tadbir urus AI yang bertanggungjawab serta memastikan kemajuan teknologi selaras dengan piawaian etika global.
Dalam perbincangan panel bertajuk “Memupuk Dialog Global Mengenai Kecerdasan Buatan demi Masa Depan Bersama”, Gobind menyatakan, “Dengan perkembangan pesat AI, dialog yang bermakna dan kerjasama antarabangsa amat penting untuk membina masa depan yang inklusif, selamat dan bermanfaat untuk semua.”
Beliau turut berkongsi pencapaian Malaysia dalam memperkukuh sambungan digital, pembangunan infrastruktur, dan pengenalan peraturan pusat data untuk menjadikan negara sebagai hab serantau. “Saya yakin lebih banyak pencapaian membanggakan akan dicapai, tetapi kemajuan ini mesti disokong dasar dan peraturan yang kukuh,” katanya.
Gobind juga mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Ekonomi dan Masyarakat Digital Thailand, Prasert Jantararuangtong. Perbincangan mereka menumpukan peluang kerjasama dalam sektor pertanian, kesihatan, dan pengangkutan.
“Kami mengulangi komitmen bersama terhadap kerjasama ASEAN dalam teknologi digital dan AI. Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 menjemput Thailand ke Sidang Kemuncak AI ASEAN pada Ogos dan Ekspo Bandar Pintar pada September di Kuala Lumpur,” jelas Gobind.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan keperluan tindakan bersama menangani ancaman keselamatan siber dalam era digital yang semakin dipacu AI.