LANGKAWI: Malaysia akan meningkatkan pelaburan dalam teknologi pengawasan canggih, termasuk penggunaan kenderaan autonomi tanpa pemandu (AUV) bagi memperkukuh keselamatan maritim negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata negara juga akan mempertingkat mekanisme perkongsian risikan dan melaksanakan lebih banyak latihan bersama tentera laut dengan rakan antarabangsa yang dipercayai bagi memastikan kesiapsiagaan terhadap ancaman yang kian berkembang.
“Malaysia akan terus mempertingkat keupayaan angkatan laut dan penguatkuasaan maritim bagi melindungi kepentingan negara.
“Selain itu, kita perlu seiring dengan perkembangan teknologi canggih dan terkini yang dapat mengoptimumkan keupayaan menangani isu maritim,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Maritim Malaysia (MMC) yang diadakan bersempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata Malaysia turut komited memperkukuh kerangka perundangan bagi memerangi aktiviti penangkapan ikan secara haram, pencemaran marin dan pencerobohan oleh kapal asing.
Beliau berkata dengan memperkukuh mekanisme penguatkuasaan, Malaysia berhasrat memastikan akauntabiliti dan menghalang aktiviti maritim haram.
“Prosperiti ekonomi sebenar tidak dapat dicapai tanpa keselamatan maritim. Ancaman tradisional dan bukan tradisional, termasuk penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU), lanun, penyeludupan dan pencemaran laut, terus mencabar kedaulatan negara,” katanya.
Beliau turut menekankan gangguan terhadap rantaian bekalan global, perubahan landskap geopolitik dan ancaman keselamatan yang terus berkembang, menggariskan keperluan kepada pendirian pertahanan maritim yang kukuh dan bersepadu.
Mohamed Khaled turut menekankan peranan teknologi baharu, khususnya penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam analisis data, pemantauan ancaman maritim serta penyelidikan dan penerokaan bawah laut.
Mengenai persidangan itu, beliau berkata ia harus menjadi platform penting bagi pertukaran idea, memperkukuh kerjasama dan merangka dasar yang berpandangan ke hadapan ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maritim terunggul.