• 2025-06-25 01:41 PM

PUTRAJAYA: Malaysia dan Republik Kyrgyz mengambil langkah signifikan dalam memperkukuh hubungan dua hala melalui pemeteraian beberapa memorandum persefahaman (MoU) dan Pertukaran Nota (EoN) sempena lawatan rasmi dua hari Presiden Republik Kyrgyz Sadyr Zhaparov, ke negara ini.

Perjanjian itu mencerminkan kerjasama yang semakin berkembang antara kedua-dua negara dalam bidang pelancongan, kesihatan, pendidikan tinggi, transformasi digital dan keselamatan siber.

Majlis menandatangani dokumen berkenaan diadakan di Seri Perdana di sini, hari ini, dan disaksikan oleh Zhaparov serta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tiga MoU yang melibatkan bidang pelancongan, transformasi digital dan keselamatan siber, serta perdagangan telah dipertukarkan antara Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Menteri Ekonomi dan Perdagangan Republik Kyrgyz, Bakyt Sydykov dan Menteri Pembangunan Digital serta Teknologi Inovatif, Azamat Jamangulov.

Mohamad turut bertukar dua EoN berkaitan latihan diplomat dan belia serta satu surat hasrat (LoI) bagi perjanjian bantuan perundangan bersama dalam hal jenayah dengan rakan sejawatnya Zheenbek Kulubaev dan Menteri Kebudayaan, Maklumat dan Dasar Belia Republik Kyrgyz, Mirbek Mambetaliev.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pula bertukar MoU dalam bidang pendidikan tinggi dengan Menteri Sains, Pendidikan Tinggi dan Inovasi Republik Kyrgyz Baktyiar Orozov, manakala MoU dalam bidang kesihatan ditandatangani antara Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan rakan sejawatnya Erkin Checheibaev.

Dua lagi MoU turut dimeterai antara Institut Inisiatif Strategik Negara (NISI) di bawah Presiden Republik Kyrgyz dengan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, serta antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Negara Malaysia (NCCIM) dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Republik Kyrgyz.

ISIS Malaysia diwakili oleh Pengerusinya Prof Datuk Dr Mohd Faiz Abdullah, manakala Republik Kyrgyz diwakili Menteri Kehakiman Aiaz Baetov.

Sementara itu, NCCIM diwakili oleh Presidennya, Datuk Seri N. Gobalakrishnan, manakala Dewan Perniagaan dan Perindustrian Republik Kyrgyz diwakili Presidennya, Temir Sariev.