• 2025-10-06 12:57 PM

KUALA LUMPUR: Malaysia serta beberapa negara lain bimbang terhadap kelompongan pelan damai 20 perkara bagi menamatkan perang di Gaza oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata dalam pelan itu Trump tidak menyebut secara jelas mengenai perdamaian dan pengunduran tentera secara total.

Beliau menekankan penentuan hala tuju negara Palestin mestilah ditentukan oleh rakyat Palestin sendiri.

Bagaimanapun Malaysia melihat pelan itu turut mempunyai manfaat besar dalam krisis di Gaza.

Antaranya menghentikan serangan serta-merta oleh Israel di wilayah itu.

“Dengan adanya pelan 20 perkara ini, kita berharap akan berlaku pemberhentian pengeboman, genosid dan kemusnahan,“ katanya.

“Yang paling penting, pelan ini membuka ruang kepada dunia untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.”

“Justeru, ini sesuatu yang kita sambut baik.”

“Namun, ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan dalam pelan tersebut kerana terdapat kebimbangan, termasuk dalam kalangan beberapa negara bahawa masih terdapat kelompongan di dalamnya,“ katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Mohamad menjawab soalan tambahan oleh Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) berhubung pendirian Malaysia terhadap pelan damai Trump.

Mengenai kehadiran Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN, Mohamad menjelaskan sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia berkewajipan menjemput semua rakan dialog ASEAN.

Ini selaras dengan prinsip neutraliti serta kesentralan serantau dan bukannya dibuat atas dasar hubungan dua hala semata-mata.

Beliau berkata Malaysia akan menggunakan ruang perjumpaan bersama Trump untuk menyatakan pendirian serta kegusaran negara atas kezaliman Israel terhadap Palestin.

“Yang paling penting, kerjasama antara Malaysia, ASEAN dan Amerika Syarikat dapat dimantapkan dalam usaha menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka.”

“Kita juga mahu membebaskan Palestin daripada ancaman genosid dan kemusnahan.”

“Kita juga mahu memastikan ada sokongan untuk pembinaan semula Gaza pada masa hadapan,“ katanya. – Bernama