• 2025-08-09 10:19 AM

OSAKA: Malaysia yakin mampu mencapai sasaran pelaburan RM13 bilion menerusi penyertaan di Expo 2025 Osaka.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata setakat ini potensi pelaburan dan perdagangan mencecah RM11.2 bilion.

“Harapnya kita boleh capai sasaranlah. Tak jauh dah tu,“ katanya kepada media Malaysia di Pavilion Malaysia.

Pelaburan tersebut melibatkan sektor teknologi hijau, industri halal, tenaga boleh baharu, bioekonomi dan ekonomi digital.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan turut menyaksikan beberapa perjanjian persefahaman semasa lawatan ke expo.

Pavilion Malaysia menerima lebih 2.2 juta pengunjung, melebihi sasaran awal 1.5 juta.

“Roti canai kita dijual kira-kira 1,500 keping sehari dengan harga lebih RM50 sekeping,“ kata Tengku Zafrul.

Persembahan ‘roti canai terbang’ dan tarian tradisional turut menjadi tarikan pengunjung antarabangsa.

Mengenai penyertaan Malaysia di Expo 2030 Riyadh, Tengku Zafrul berkata perkara itu akan dibincang di peringkat kabinet.

“Kami akan pertimbangkan keseluruhan konsep selepas menerima jemputan rasmi,“ jelasnya.

Sebanyak 25 syarikat Malaysia telah mula meneroka peluang dalam pembinaan dan perkhidmatan berkaitan Expo 2030.

“Mereka terbuka untuk menyokong pembinaan World Expo,“ tambah Tengku Zafrul. - Bernama