• 2025-06-26 11:27 AM

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura merancang untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam memperkasakan agenda kesukarelawanan belia serta memupuk nilai perpaduan merentasi sempadan. Perkara ini diumumkan oleh Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang selepas pertemuan dengan Pemangku Menteri Kebudayaan, Komuniti dan Belia Singapura David Neo.

Aaron berkata, pertemuan tersebut membincangkan cadangan program pertukaran sukarelawan dan pembangunan rangkaian kolaboratif antara organisasi belia kedua-dua negara. “Perbincangan telah menyentuh cadangan untuk mewujudkan program pertukaran sukarelawan dan pembangunan rangkaian kolaboratif antara organisasi sukarelawan belia kedua-dua negara,“ katanya menerusi hantaran Facebook.

Beliau turut berkongsi inisiatif Kementerian Perpaduan Negara, termasuk peranan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) yang aktif melaksanakan misi Sukarelawan Siswa MADANI Berkhidmat di peringkat nasional dan antarabangsa. Usaha ini selaras dengan komitmen Malaysia untuk melahirkan belia yang berdaya tahan, berjiwa perpaduan, dan berwawasan global.

Aaron berada di Singapura atas jemputan Kementerian Kebudayaan, Komuniti dan Belia Singapura bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Ketiga mengenai Masyarakat Bersepadu (ICCS) 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula Selasa.