• 2025-08-21 01:46 PM

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak merancang untuk menganjurkan semula kejohanan Formula 1 (F1) memandangkan kos yuran hak penganjuran dan penyediaan fasiliti yang tinggi serta kalendar perlumbaan yang padat.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata beberapa faktor perlu diteliti dengan lebih terperinci sekiranya kerajaan mempertimbangkan semula penganjuran kejohanan berprestij itu di negara ini.

Beliau berkata penganjuran F1 di Malaysia akan memerlukan kerajaan melabur sekitar RM300 juta setahun bagi yuran hak penganjuran kepada Liberty Media, iaitu pemegang hak komersial F1.

“Secara amnya, Malaysia perlu mengikat kontrak penganjuran selama tiga hingga lima tahun dengan Liberty Media dan ini akan melibatkan komitmen yuran hak penganjuran kejohanan F1 sekitar RM1.5 bilion untuk tempoh tersebut.

“Selain itu, kos penyediaan litar dan penganjuran acara juga perlu diambil kira. Litar Antarabangsa Sepang (SIC) masih mengekalkan penarafan homologasi litar Gred 1 ‘Federation Internationale de l’Automobile’ (FIA) dan memerlukan RM10 juta setiap tahun untuk memastikan keselamatan litar serta fasiliti sokongan menepati standard penarafan tersebut,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini-BERNAMA