• 2025-09-18 07:21 PM

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Sabah semakin meningkat kepada 3,325 orang daripada 964 keluarga petang ini berbanding 3,134 orang daripada 916 keluarga pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di 28 pusat pemindahan sementara melibatkan enam daerah iaitu Beaufort, Membakut, Penampang, Papar, Putatan dan Sipitang.

Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Penampang dan Papar menunjukkan trend peningkatan manakala di Beaufort, Membakut dan Sipitang jumlah mangsa kekal.

Di Putatan jumlah mangsa berkurang berbanding pagi tadi.

Setakat ini 128 buah kampung terjejas akibat bencana banjir yang melanda Sabah sejak 9 September lepas.

Sementara itu di Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan 13 orang daripada tiga keluarga masih berlindung di pusat pemindahan sementara Dewan Suarah Marudi setakat 4 petang ini.

Setakat ini dua stesen aras air sungai iaitu di Marudi dan Long Teru turut dilaporkan berada pada tahap bahaya. – Bernama