• 2025-10-20 08:00 PM

KULIM: Seorang mangsa mengalami kecederaan serius dalam kebakaran mercun di Paya Besar dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang.

Lima mangsa lain masih menerima rawatan di zon merah Hospital Kulim.

Pegawai Khas kepada Menteri Dalam Negeri Saiful Ambar Abdullah Ambar menziarahi lima mangsa yang masih dirawat di hospital.

“Ada lima yang masih menerima rawatan di zon merah termasuk seorang kanak-kanak perempuan, seorang wanita dan tiga lelaki,“ katanya.

Beliau berkata terdapat 22 mangsa yang dilaporkan cedera dalam insiden tersebut.

“Kita akan cuba jejak mangsa-mangsa lain yang telah pulang selepas mendapatkan rawatan,“ katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa.

Saiful Ambar tidak menolak kemungkinan ada mangsa lain yang mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan sendiri di klinik.

Mangsa Nurzaina Ismail, 47, berkata dia keluar untuk melihat kemeriahan sambutan Deepavali ketika kejadian berlaku.

“Tiba-tiba selepas itu saya rasa sakit pada perut, rasa panas pada perut dan kaki, rupanya dah cedera,“ katanya.

Mangsa R. Pasupathi, 74, berkata dia terkena serpihan mercun ketika melalui kawasan berkenaan pada jarak 50 meter.

“Saya berada di belakang kereta, terdengar bunyi meletup dan serpihan kena pada tangan saya, terus rasa sakit,“ katanya.

Kejadian berlaku pada 12.45 tengah malam dengan 22 orang awam cedera termasuk seorang lelaki mengalami kecederaan serius pada dahi.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Zulkifli Azizan berkata kejadian disedari anggota yang membuat rondaan pencegahan jenayah. – Bernama