• 2025-07-24 09:08 PM

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi jaminan bahawa kebajikan 16 pelajar yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) akan dipantau sepenuhnya.

Kemalangan berkenaan mengakibatkan tiga kematian dan sembilan kecederaan.

MARA dalam kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya tidak terlibat dalam penganjuran konvoi yang didakwa menjadi punca kejadian.

“Aktiviti konvoi itu dianjurkan secara santai oleh pelajar sendiri melalui perbincangan dalam kumpulan WhatsApp,“ jelas kenyataan itu.

Bagi membantu keluarga mangsa, MARA melalui Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi telah menyalurkan sumbangan khairat kematian RM1,500 kepada setiap waris pelajar yang terkorban.

Selain itu, tuntutan takaful kemalangan dan kematian sehingga RM38,000 bagi setiap pelajar sedang diuruskan.

Tiga pelajar KPTM yang maut telah selesai dibedah siasat di Hospital Rembau.

Jenazah mereka dihantar ke lokasi masing-masing untuk upacara pengebumian.

Sementara itu, tiga pelajar lain dilaporkan selamat manakala seorang pelajar German-Malaysian Institute (GMI) mengalami kecederaan ringan dan masih dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

MARA menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan institusi pendidikan bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus.

“Kami memohon semua pihak memberi ruang kepada pihak polis menyelesaikan siasatan dengan profesional,“ tambah kenyataan itu.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din sebelum ini melaporkan bahawa kemalangan dipercayai berlaku ketika kumpulan pelajar berkonvoi selepas singgah di sebuah kedai makan. – Bernama