• 2025-07-23 11:37 AM

MELAKA: Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menyalurkan bantuan dan geran bernilai RM1.32 juta kepada 1,118 usahawan di Melaka, terutamanya di kawasan luar bandar, sepanjang tahun lepas.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin, berkata bantuan tersebut merangkumi pelbagai program seperti latihan keusahawanan MARA dan Program Pembangunan Teknologi dengan peruntukan RM539,445.73 yang memberi manfaat kepada 1,013 usahawan.

“Selain itu, Program Pendigitalan Perniagaan MARA melibatkan peruntukan RM251,709 dengan 33 usahawan mendapat kemudahan.

Bagi Program Pensijilan Usahawan MARA (BEST), kelulusan sebanyak RM354,651 telah diberikan kepada 59 usahawan,“ katanya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka hari ini.

Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan negeri turut memperuntukkan RM200,000 pada tahun lepas untuk membantu 67 usahawan kecil dan mikro di Melaka menerusi belanjawan negeri.

“Bantuan ini bertujuan membantu usahawan meneruskan perniagaan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu,“ jelas Seah. - Bernama